https://online.anyflip.com/cldvq/sjwm/mobile/index.html
Meraikan warga kolej yang menyambut Tahun Baru Cina disamping membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan warga kolej berbilang bangsa.
KESITRA telah menjadi tuan rumah kepada Karnival Sukan Tingkatan Enam Negeri Perak 2019 bagi sukan Futsal. Karnival yang berlangsung selama 3 hari di Master Badminton Club (MBC) Gunung Rapat, Ipoh ini telah disertai oleh 43 buah sekolah seluruh negeri Perak. Karnival telah berjalan dengan lancar dan meriah dengan kejuaraan berpihak kepada SMK Ahmad Boestamam, Sitiawan. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat!
Seramai kira-kira 70 pelajar Tingkatan Enam Atas, diiringi oleh 12 orang guru, telah membuat lawatan sehari ke Parlimen Malaysia untuk menyaksikan Persidangan Dewan Rakyat. Para pelajar didedahkan dengan pengalaman bagaimana sesebuah persidangan berlangsung, disamping merasai suasana sebenar berada di dalam Dewan Rakyat dan melihat perbahasan dijalankan. Mereka juga berkesempatan memasuki Dewan Negara dan diberi penerangan khas oleh kakitangan Parlimen Malaysia sendiri. Destinasi seterusnya adalah Universiti Malaya, di mana para pelajar diberi kesempatan melawat Fakulti Ekonomi dan diberi taklimat berserta sesi soal jawab bersama Pensyarah Kanan fakulti tersebut. Mereka diberi pendedahan mengenai keperluan dan prospek jurusan-jurusan yang ditawarkan di sana. Harapan kolej adalah semoga pendedahan dan pengalaman ini dapat membuka minda para pelajar dengan lebih luas dalam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Perak telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Renand dan Akuatik MSSM 2019, bertempat di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh. KESITRA telah diberi penghormatan untuk bersama-sama menabur bakti dalam Jawatankuasa Penganjur sebagai Jawatankuasa Persiapan Tempat. Seramai 32 pelajar dan 14 orang guru ditugaskan sebagai AJK Persiapan Tempat bagi membantu melicinkan perjalanan program sepanjang 5 hari kejohanan berlangsung.
KESITRA telah menganjurkan Majlis Aku Janji pelajar-pelajar STPM 2019 dengan kehadiran barisan guru dan ibu bapa pada 23 Februari yang lalu. Bertempat di Dewan Tertutup KESITRA, pelajar-pelajar membaca ikrar Aku Janji, dengan diketuai oleh Presiden MPPTE, Saudara Mohd. Shazrin, dengan penuh semangat, sebagai pemangkin dan panduan dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan. Perjalanan majlis diteruskan lagi dengan berlangsungnya Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-4, dengan dihadiri oleh barisan ibu bapa pelajar-pelajar KESITRA dan juga warga pendidik kolej. Perjalanan mesyuarat berjalan lancar di mana segala persoalan yang dibangkitkan pihak ibu bapa telah diberikan pencerahan yang sewajarnya daripada pihak kolej. Mesyuarat ini juga menyaksikan pelantikan baharu Ahli Jawatankuasa Ibu Bapa PIBG bagi tahun 2019. Semoga ini akan menjadi titik tolak hubungan kerjasama yang erat dan jitu di antara pihak kolej dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan pelajar-pelajar KESITRA pada masa akan datang.
Pusat Sumber Kolej (PSK) KESITRA menganjurkan Majlis Pelancaran 'Enrich Your Knowledge' yang dirasmikan oleh Pengetua KESITRA, Tuan Haji Yamin bin Zakaria. Program ini bertujuan untuk menarik minat membaca dalam kalangan pelajar dan guru, di samping meningkatkan promosi bagi menggalakkan pelajar dan guru mengunjungi pusat sumber sekolah. Ianya juga menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti kelolaan PSK.
Perkhemahan ini mengumpulkan tiga badan kepimpinan tertinggi di KESITRA iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam (MPPTE), Pembimbing Rakan Sebaya (PERASA) dan Pengawas Pusat Sumber. Ianya berlangsung selama 3 hari, melibatkan 34 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring.
Kejohanan Merentas Desa 2019 ini adalah julung kali dianjurkan oleh KESITRA dan yang lebih istimewanya ia berlangsung di taman rekreasi terkenal di Ipoh iaitu Taman DR Seenivasigam.
Telah diadakan Majlis Pelancaran Guru Penyayang dan Mentor-Mentee 2019 anjuran Unit Hal Ehwal Murid dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling KESITRA pada 7 Januari 2019 yang lalu. Objektif program ini adalah untuk menjiwai bahawa amalan penyayang adalah budaya guru, menginsafi bahawa kehadiran murid merupakan rahmat kepada kolej dan menyedari bahawa setiap murid adalah aset kepada kolej. Guru-guru telah dipertanggungjawabkan dengan mentee masing-masing pada majlis ini sebagai tanda bermulanya sesi mentor-mentee untuk tahun 2019. Diharap usaha murni ini dapat menaikkan ketrampilan pelajar bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, tetapi juga aspek kerohanian dan sosial mereka.